Konsep Tabarru' dalam Takaful

Standard
prinsip tabarru' dalam Takaful Ikhlas membantu ahli yang dalam kesempitan.

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

SESUNGGUHNYA Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.

Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.

Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.

Kontrak tabarru' (bersedekah) telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful di mana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan kali ini adalah berkaitan konsep tabarru' dan mengapa ia dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi insurans.

Berkasih sayang

Tabarru' bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang diberi oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain.

Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru' adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedekah. Antaranya daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Firman Allah: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah SWT) (Muttafaq 'alaih)

Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (riwayat Muslim)

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung.

Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, dalam Model Takaful Ikhlas, setiap peserta berjanji melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru') ke dalam Tabung Risiko.

Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun, sebagai contoh Akaun Pelaburan Risiko Peribadi (PRIA) yang berupa milik peserta.

Pihak peserta yang telah berjanji melakukan derma tadi, membenarkan Takaful Ikhlas mengambil sejumlah tertentu daripada PRIA iaitu jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk didermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko.

Setiap peserta akan saling membantu di antara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah.

Aplikasi tabarru' di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan maisir (judi) yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram.

Ini kerana tabarru' dikategori sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak.

Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang (harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut, jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional di mana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang.

Ini kerana perlindungan (wang) tersebut hanya boleh diserahkan jika pelanggan berkenaan mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya.

Wang hangus

Semasa membeli insurans, pelanggan berkenaan belum lagi menghidap musibah-musibah berkenaan. Maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.

Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui akan berlaku atau pun tidak. Maka pelanggan berkenaan tidak pasti sama ada akan dapat atau tidak.

Dalam konteks kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW. Inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan tabarru' ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, peserta A menderma untuk membantu peserta B, manakala peserta B menderma untuk membantu peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai Takaful di mana peserta saling membantu sesama mereka.

Bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Berdasarkan prinsip-prinsip tabarru' sumbangan derma itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta. Jika peserta membatalkan penyertaan di dalam Takaful, bahagian yang telah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan. Bagaimanapun peserta berhak mendapat baki yang ada di dalam PRIA dalam konteks Takaful Ikhlas.

Justeru, tiada istilah 'wang hangus' dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ia wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah.

Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan tabarru' tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi di samping habuan duniawi sekali gus.

Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang bersedekah. Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261). Selain itu boleh juga merujuk ke ayat 274 surah al-Baqarah.

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep tabarru' ini, juga bakal mendapat ganjaran ilahi.

Menerusi amalan tabarru' ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru' kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0826&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_03.htm#ixzz3CHCMqZxu


Kajian atasi kesesakan hospital kerajaan

Standard
http://m.utusan.com.my/Sabah_%26_Sarawak/20120705/wb_01/Klinik-Kesihatan-Miri-semakin-tenat 

Kuala Lumpur: Kajian sedang dilakukan untuk mengatasi kesesakan di hospital kerajaan bagi membantu pesakit menjimatkan masa dan wang apabila mendapatkan rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kini pesakit terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit biasa seperti selesema atau demam.

Katanya, ada juga pesakit terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu bagi mendapatkan janji temu untuk prosedur diagnostik seperti ujian darah, MRI dan CT Scan di hospital kerajaan.

“Keadaan ini boleh dielak sekiranya pesakit faham bukan semua penyakit perlu dirawat di hospital dan terdapat kemudahan pilihan lain berhampiran dengan tempat tinggal mereka,” katanya selepas berucap pada Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai contoh ada kes hospital kerajaan merujuk pesakit yang menghidap penyakit kritikal seperti barah ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan susulan kerana klinik kerajaan di tempat mereka tidak mempunyai kemudahan rawatan itu. - BERNAMA

Rujuk artikel asal http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kajianatasikesesakanhospitalkerajaan/Article/index_html




Lagi berita Kesesakan Di Hospital dan Keluhan Pesakit 

Pesakit jadi tunggul
Oleh SHAMRAN SARAHAN, RUDY SYAREME SHERIFUDDIN dan SHARIFAH ZULAIKHA SYED AMALI


>> TINJAUAN 1 - Hospital di Kuala Lumpur

Azman perlu mendapatkan rawatan di hospital ini selepas terbabit dengan kemalangan kecil yang menyebabkan dia cedera ringan dan bengkak di kaki.

Malangnya, sejak menunggu dari jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari, Azman masih belum menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Mulanya saya disuruh mendaftar di JPL. Selepas menghabiskan masa hampir tiga jam di situ, pegawai perubatan menyuruh saya ke JKT untuk rawatan lanjut.

“Kenapa tidak dari awal lagi saya diarahkan saja ke JKT? Sudahlah pesakit melambak di hospital, pengendalian pesakit yang tidak sistematik begini akhirnya akan menyusahkan,” katanya.

Sementara itu, pesakit di Klinik Pakar Ortopedik, Mohd Hafiz Hassan, 31, berkata memang sukar dinafikan bahawa masa menunggu di hospital kerajaan sungguh mengece wakan.

Menurut Hafiz, biasanya pesakit mengambil masa se tidak-tidaknya satu hingga tiga jam sebelum menerima pemeriksaan dan rawatan daripada doktor.

“Saya mengalami masalah ligamen di lutut dan sudah melakukan pembedahan. Buat masa ini saya hanya melakukan rawatan susulan.

“Ada masa, saya menerima rawatan lanjut dengan cepat, tetapi jika ramai pesakit, ia mengambil masa panjang. Saya percaya, jika ada formula menangani kebanjiran pesakit ke hospital kerajaan, masalah menunggu ini tidak akan timbul,” katanya.


>> TINJAUAN 2 - Hospital di Johor

HASHIM Ibrahim, 69, yang menderita sakit asma sejak tujuh tahun lalu terpaksa menunggu hingga separuh hari di hospital untuk mendapatkan rawatan yang hanya memakan masa lebih kurang 10 minit.

Anak menantunya, Nadia Rauf, 31, yang sering menemani Ibrahim ke hospital berkenaan berkata, dia sudah lali dengan masa menunggu yang lama walaupun kerajaan pernah menyuarakan akan mengurangkan masa menunggu pesakit sebelum ini.

“Sebahagian besar masa dibazirkan hanya untuk menunggu giliran dan rawatan pula hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit.

“Cuba bayangkan, temujanji jam 10.30 pagi, saya bersama bapa datang sejam setengah awal untuk mendapatkan nom bor giliran, namun rawatan hanya dapat diberi kira-kira dua jam kemudian,” katanya.

Norhidayah Jamaluddin, 24, yang mengalami kesukaran membuang air kecil pula berkata, dia menunggu hampir tiga jam bagi mendapatkan rawatan di poliklinik hospital ber kenaan.

Menurutnya, ketika mendaftar dia diarah mengisi borang bagi menyatakan jenis penyakit sebelum mendapatkan nombor giliran.

“Saya datang ke poliklinik ini jam 12 tengah hari dan perlu menunggu sehingga 3 petang untuk mendapatkan rawatan.

“Menyukarkan lagi keadaan, hanya seorang doktor ber tugas pada waktu makan tengah hari, sedangkan jumlah pesakit yang menunggu di poliklinik bertambah,” katanya.


>> TINJAUAN 3 - Hospital di Pulau Pinang

PESAKIT gout, Yusuf Che Rus, 64, menegaskan, pesakit di kalangan warga emas sewajarnya tidak lagi dibebani masa menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan ketika berkunjung di hospital.

Yusuf berkata, sejak tiga tahun lalu dia perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan dan terpaksa membuang masa lama semata-mata untuk rawatan dan mendapatkan ubat.

“Kasihan kepada golongan seperti kami. Sukar mem bayangkan apabila terpaksa menunggu lama dan menahan kesakitan kerana tiada kaunter khas disediakan untuk warga tua.

“Saya berasa terkilan dengan layanan diberi, dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah,” katanya.

Salmiah Suhaimi, 62, yang menghidap penyakit darah tinggi menegaskan, dia perlu menghabiskan masa antara tiga hingga enam jam setiap kali mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

Katanya, lambakan pesakit di hospital antara punca ke lewatan pesakit menerima rawatan dan ia sepatutnya di tangani dengan serius.

“Ada kala malas hendak ke hospital, tetapi saya tiada pilihan. Jika hendak ke hospital swasta, saya tidak mampu.

“Sedih memikirkan perkhidmatan ditawarkan di hospital masih di takuk lama. Seawal jam 7.30 pagi sudah perlu ke hospital, dan segala urusan hanya selesai menjelang tengah hari, termasuk menunggu giliran mengambil ubat,” katanya.

Artikel asal http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pesakitjaditunggul//Article/article_print