Apa itu HIBAH?

Standard


Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful
30 Sep 2009

HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.

Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini.

Sabda Rasulullah SAW:
"Berilah hadiah,kamu akan berkasih sayang." (riwayat al-Bukhari)


Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda:
" Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yangmenjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i)


Sabda Baginda SAW lagi:
"Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i)


Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah. Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara. Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu.

Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali. Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah.

Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini. Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:

1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.

Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang; dan

5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik. Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah
.
Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif. Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN


Kesimpulan

Hibah dan Wasi adalah instrumen penting dalam pembahagian harta dalam Takaful. Hibah adalah pemberian manakala Wasi adalah pemegang amanah. Orang yang mengambil insuran@takaful dipanggil peserta. Peserta mendapat sejumlah wang pampasan kiranya ditimpa musibah. Andai kata peserta meninggal dunia sejumlah wang akan diberikan kepada waris beliau.

Disini pemberian secara hibah atau wasi mengambil peranan.  Kiranya peserta lelaki membuat hibah keseluruhan pampasan kepada isterinya. Maka isterinya itu akan mendapat keseluruhan harta tersebut tanpa perlu difaraidkan.  Ini kerana hibah/pemberian  tersebut dibuat ketika peserta masih hidup. Seandainya peserta melantik isteri sebagai wasi (pemegang amanah). Maka isteri akan membahagikan pampasan kepada waris tersebut mengikut persetujuan kesemua waris ataupun secara faraid.

Permasalahan isu pembahagian harta mengikut penama, wasi dan hibah kadang kala boleh menjadi rumit. Ini disebabkan terdapat perundangan civil dan perundangan syariah dalam mengendalikan kes. Banyak juga faktor yang mendorong pertindihan kuasa dalam perlaksanaannya.

Tujuan hibah takaful ialah apabila peserta meninggal dunia, untuk meringankan beban kewangan segera kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan bagi meneruskan kehidupan harian (spt makan, minum, pakaian, tempat tinggal dll), membiayai pendidikan anak-anak hingga ke universiti, menyelesaikan hutang simati dan sebagainya.

7 Tip mendapatkan Takaful mengikut keperluan anda

Standard

 
7 Tip mendapatkan Takaful mengikut keperluan anda

” Takaful sudah menjadi trend yang popular kini dalam membantu  perancangan kewangan anda. Bagi yang belum ada atau yang sudah dapatkan takaful boleh membaca 7 tip di bawah bagi mendapatkan polisi Takaful yang sesuai dengan anda.



#1 Tabung kesihatan

Ramai tidak sedar sebenarnya Takaful dapat menyediakan tabung kesihatan dengan jumlah yang besar tanpa perlu memyimpan di bank. Bayangkan peserta didapati mendapat penyakit kritikal seperti kanser dan memerlukan kos rawatan sehingga RM60,000. Ya, memang benar anda boleh mendapatkan rawatan di Hospital kerajaan dengan kos yang lebih rendah tetapi di sana peserta terpaksa menunggu dengan senarai yang panjang untuk mendapatkan rawatan. Kebiasanya pesakit kanser terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan rawatan kerana kelengapan perubatan di Hospital kerajaan terhad sedangkan rawatan kanser tidak boleh di tunggu. Disebabkan itu anda pernah mendengar pesakit tidak sempat dirawat kerana mendapat rawatan yang lewat. Untuk mengatasi masalah ini Takaful menawarkan perlindungan penyakit kritikal mengikut keperluan peserta dengan caruman yang rendah. Selain itu peserta juga boleh mendapatkan Medical card dengan bayaran murah tetapi perlindungan sehingga mencecah RM1.5 Juta. Oleh sebab itu peserta yang bercadang untuk mendapatkan takaful bolehlah mempertimbangkan Tabung kesihatan.



#2 Tabung pendidikan anak

Pendidikan anak adalah menjadi keperluan utama bagi setiap ibubapa. Kebelakangan ini pelbagai skim diperkenalkan bagi membantu ibubapa membuat tabung pendidikan anak. Takaful juga dapat membantu anda membuat tabung pendidikan dan lebih menarik lagi pembayar atau ibubapa menikmati pelepasan bayaran (waiver of contribution) yang tidak ada dalam skim pelaburan atau menyimpan di bank. Pelepasan bayaran akan diberi kepada ibubapa atau pembayar jika meninggal dunia, lumpuh, cacat kekal atau mengidap 39 penyakit kritikal. Ini bermakna ibubapa atau pembayar tidak perlu risau dengan tabungan pendidikan anak mereka kerana takaful dapat menjamin tabung meraka akan diperolehi selepas tempoh matang dengan caruman yang rendah walaupun pembayar sudah tiada. Tabung pendidikan anak disyorkan kepada peserta yang mahu memastikan anaknya mendapat pendidikan universti dan dalam masa yang sama tidak memerlukan wang yang banyak untuk membiayai pendidikan anak mereka.




#3 Tabung perancangan kewangan pesaraan

Tabung ini adalah asas kepada Takaful kerana konsep takaful adalah menabung dan perlindungan. Perlindungan asas yang kebanyakan syarikat takaful tawarkan adalah kematian dan khairat kematian. Disamping itu peserta sebenarnya menabung dengan Takaful. Tabung ini boleh diambil apabila polisi peserta matang dengan keuntugan mudharabah. Walaubagaimanapun peserta boleh membuat pengeluaran sebanyak tiga kali sepanjang tempoh polisi. Takaful juga akan mengeluarkan penyata setiap tahun jumlah simpanan semasa peserta bagi memudahkan peserta merancang tabung pesaraan.

#4 Tabung perlindungan hutang

Perlindungan hutang adalah menjadi teras yang penting dalam islam kerana Rasullulah s.a.w sendiri menekankan dalam pengurusan hutang. Hutang menjadi tanggungjawab anda walaupun sudah meninggal oleh sebab itu umat islam diwajibkan membayar hutang walaupun tidak dituntut. Takaful juga menyediakan kemudahan ini kepada peserta mengikut keperluan peserta dengan caruman yang rendah.

#5 Tabung kemalangan

Takaful juga menyediakan tabung kemalangan kepada peserta. Jika berlaku kemalangan peserta boleh mendapatkan bantuan kewangan daripada tabung kemalangan. Tabung kemalangan mempunyai banyak jenis antara jenis popular perlindugan kematian, cacat dan lumpuh, perlindungan kehilangan angota badan, perlindungan patah dan banyak lagi. Peserta bolehlah memilih jenis tabung kemalangan mengikut keperluan peserta.

#6 Tabung perlindungan pendapatan

Tabung ini amat penting kepada setiap peserta  kerana sebelum ini saraan keluarga dikongsi bersama tetapi jika berlakunya musibah pendapatan suami atau isteri akan terhenti serta merta lebih merana lagi jika si suami sahaja yang menyara keluarga.

Oleh sebab itu peserta disarankan untuk mendapatkan perlindungan pendapatan sekurang-kurangnya tiga tahun pendapatan dengan caruman yang rendah. Contohnya peserta memperolehi pendapatan sebanyak RM50,000 setahun. Tiga tahun pendapatan adalah sebanyak RM150,000.

#7 Tabung pembiayaan perumahan

Tabung ini memberi perlindungan kepada peserta jika berlakunya musibah kepada pembayar dengan membantu membiayai baki hutang perumahan. Tabung pembiayan perumahan mempunyai dua jenis iaitu MRTA dan MLTA. Perbezaan keduanya ialah MRTA hanya membiayai baki hutang perumahan manakala MLTA membayar harga asal rumah, contohnya rumah peserta berharga RM300,000 MLTA akan membayar baki kepada waris sebanyak RM300,000 juga.

Tujuh tip diatas diharap dapat membantu anda dalam merancang kewangan anda dalam masa yang sama mendapat perlindungan. Disamping itu peserta juga dapat menikmati potongan cukai pendapatan bagi takaful dan KWSP maksima sebanyak RM6,000 manakala bagi takaful pendidikan layak menerima potongan maksima sebanyak RM3,000.

Akhir sekali tepuk dada tanya iman dalam memilih pelan yang sesuai dengan anda.