[Berita 070314] Takaful Ikhlas sasar 2 juta pemegang polisi

Standard
http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140308/ko_03/Takaful-Ikhlas-sasar-2-juta-pemegang-polisi#ixzz2vU5v8LKN

Oleh Nur Hanani azman
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Mac. - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas), unit kepada MNRB Holdings Bhd., berhasrat untuk meningkatkan jumlah pemegang polisi berdaftar kepada 2 juta menjelang akhir 2014 berbanding 1.8 juta pada tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Latiff Abu Bakar berkata, unjuran itu sekali gus akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan perolehan sumbangannya untuk melepasi RM747 juta dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.

Katanya, antara produk Takaful Ikhlas yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan individu dan syarikat menerima khidmatnya adalah di bawah kategori Takaful Am dan Takaful Keluarga.

Ujarnya lagi, pengenalan produk baharu berkaitan Takaful Medical Rider dijangka dilancarkan pada suku kedua 2014 bakal memberikan satu kelainan kerana sebelum ini ia berkaitan pelaburan sahaja.

"Takaful Ikhlas sehingga kini menguasai 12 peratus kepentingan pasaran akan berusaha lebih aktif untuk mengukuhkan lagi program-program sedia ada dalam meningkatkan lagi penguasaan pasaran.

"Kami berharap dengan meningkatnya penguasaan pasaran kami, ia akan berupaya membawa kepada keputusan kewangan lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya dalam majlis penyampaian Anugerah Euromoney Islamic Finance Awards 2014 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Serantau Asia Euromoney, Marcus H. Langston.

Takaful Ikhlas baru-baru ini dinobatkan sebagai Penyedia Takaful Terbaik dalam Anugerah Kewangan Islam oleh majalah kewangan antarabangsa, Euromoney.

Ab. Latiff ketika diminta memberi reaksi terhadap anugerah itu berkata, ia adalah pengiktirafan penting kepada pihaknya atas usaha mereka dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inovatif berlandaskan prinsip dan nilai Islam.

"Kami akan terus berusaha dengan gigih bagi menawarkan lebih banyak produk inovatif dan relevan sekaligus memberikan pengalaman positif kepada setiap pelanggan.

"Usaha kami bagi mempromosikan serta menggalakkan Muamalat Islam akan menjadi antara agenda utama yang melambangkan nilai dan amalan syarikat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140308/ko_03/Takaful-Ikhlas-sasar-2-juta-pemegang-polisi#ixzz2vU5v8LKN
© Utusan Melayu (M) Bhd

  • Categories