[Fatwa] Apa itu Wang atau Harta Tidak Patuh Syariah?

Standard

Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Pandangan Imam Al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

i.    Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
ii.    Perjudian dan pertaruhan;
iii.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
iv.   Insurans konvensional;
v.    Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
vi.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
vii.  Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
viii.  Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Rujuk artikel asal http://www.mais.net.my/index.php?option=com_content&view=article&id=219&Itemid=267
Juga Rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh-syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain
  • Categories