[Artikel] Jauhkan Daripada Riba Dalam Semua Urusan Kehidupan.

Standard

Jenis-jenis riba yang terdapat dalam jenis perniagaan perbankan dan jual beli adalah seperti berikut :

1. Akaun Simpanan Biasa dalam Bank Konvensional.
2. Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit) dalam Bank Konvesional keuntungan tetap yang diberikan bank adalah riba.
3. Pinjaman yang terdapat dalam bank konvesional
4. Kad kredit terdapat riba apabila pengguna tidak membayar dalam tempoh yang ditetapkan oleh bank.
5. Jual beli emas dengan berhutang adalah diharamkan.
6. Pelaburan / Pertukaran wang asing (forex) secara online di internet adalah haram.
7. Perniagaan Multi Level Marketing yang tiada Jawatankuasa Patuh Syriah
8. Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera.
9. Mengambil insuran nyawa atau insuran kenderaan secara sistem konvensional adalah riba.

Baca selanjutnya dibawah.....

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun umat Islam akan menyambul Maal Hijrah apabila sampai 1 Muharam dalam kalender Islam. Sempena sambutan tahun ini apa kata kita berhijrah daripada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT . Satu perkara haram yang tidak diperhatikan sangat oleh umat Islam adalah RIBA. Jika tidak berhati-hati debu-debu riba akan terkena pada diri kita sendiri.

Hadis yang diriwayatkan dari Jabir : Rasulullah SAW melaknat seorang yang mengambil riba, seorang yang memberikan (membayar) riba , seorang yang mencatatkan (merekodkan) transaksi tersebut dan dua orang saksi yang terlibat. Baginda bersabda : Mereka semuanya sama bersalah".(Hadis Riwayatr Muslim).

Pemakan Riba itu ada 4 golongan :

1. Mengambil riba
2 . Memberi riba.
3 . Menjadi penulis/pencatat
4. Saksi kepada transaksi riba.

Satu kenyataan yang sama oleh baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifa . Nabi SAW melaknat wanita yang membuat tatu dan seorang yang ditatu , dan seorang yang menggunakan riba dan seseorang yang memberikannya. Dan baginda melarang mengambil harga anjing dan wang yang diperolehi dari pelacuran (perzinaan) dan melaknak pembuat-pembuat gambar." (Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad telah mengishtiharkan bahawa di sana ada 70 jenis atau bentuk riba :

 "Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : "Riba mempunyai 70 bahagian, yang paling ringan (dosanya) adalah bersamaan dengan seorang lelaki mengahwini ibunya sendiri (yang mana ini adalah bahasa yang lembut yang digunakan nabi dalam menggambarkan perzinaan/kelakuan kelamin antara seorang lelaki dan ibunya sendiri). (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Mengenal Jenis-jenis Riba.

Walaupun Saidina Umar al-Khattab r.a dalam satu satu riwayatnya, beliau hampir dalam nada keluhan di atas fakta bahawa Nabi SAW pergi tanpa menceritakan secara khusus kesemua jenis-jenis riba yang wujud :

Ibn Umar meriwayatkan : Umar telah memberikan khutbah di atas mimbar Nabi dengan berkata : …

"Aku mengharapkan Rasulullah tidak meninggalkan kita sebelum baginda memberikan kita keputusan yang jelas berkaitan 3 perkara , berapa banyak seorang datuk boleh mewarisi (cucunya) , pusaka dari al-kalala (seorang yang mati yang tiada dari warisnya dari kalangan ayah atau anak lelaki) dan kepelbagaian jenis dari riba." (Hadis Riwayat Bukhari)

Tetapi di sana, kita mendapati pelbagai hadis dari pelbagai riwayat dari sahabat-sahabat Nabi SAW yang sampai kepada kita.

Maka dengan itu, kita berusaha untuk mengumpul pelbagai jenis riba yang ada agar ianya menjadi pedoman dan pembantu untuk kita memahami realiti yang ada hari ini, agar kita lebih mendekati reda Allah dalam menjauhi larangan-Nya yang paling keras dalam urusan dunia ini.

Punca Riba.

Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa Abu’z-Zinad mendengar Sa’id al-Musayyab berkata, “Riba terdapat hanya dalam emas dan perak atau apapun yang ditimbang dan diukur (takaran) oleh makanan dan minuman.”

Kepelbagaian Jenis Riba

Pertama : Manfaat Hasil Pemberian Hutang (keuntungan/lebihan)

Sebagai contoh suatu hadis berkaitan riba yang dirujuk dari Abdullah Bin Salaam, seorang bekas rabi Yahudi terkemuka yang hidup pada zaman Nabi SAW yang memeluk Islam, menghuraikan bentuk riba seperti berikut :

a – Abu Burdah ibn Abi Musa berkata : "Aku telah datang ke Madinah dan telah bertemu dengan Abdullah ibn Salaam (Rabbi Yahudi yang telah memeluk Islam) yang mana beliau berkata : Kamu (sekarang) hidup di negara yang mana riba adalah berleluasa, jika seseorang berhutang kepada kamu sesuatu dan memberikan kamu seberkas jerami, atau seberkas barli atau seikat jerami , jangan kamu menerimanya kerana ia adalah Riba. (Hadis Riwayat Bukhari)

Maksudnya jangan menerima hadiah atau pemberian daripada orang yang berhutang dengan kita. Sebelum pinjaman dibuat dibolehkan tetapi bukan selepas hutang diberikan.

b - Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Jika kamu memberikan kepada seorang lelaki pinjaman dan dia menjemput kamu makan, janganlah makannya. Tetapi bila dia menjemput kamu sebelum pinjaman dibuat, maka kamu boleh makan. Dan sekali lagi baginda bersabda : jika kamu memberikan seseorang lelaki pinjaman dan dia menjemput kamu menunggang di atas binatangnya, jangan kamu mengambilnya . Tetapi jika dia menawarkan kamu menunggang di atas binatangnya, sebelum (pinjaman ) dibuat, maka kamu boleh menerimanya. (Hadis Riwayat Sunan Baihaqi – Jilid 5 – Hadis 10955 – Sunan Alkubra – Bab 97 – Setiap hutang yang ada lebihan/manfaat maka ia adalah Riba)

c – Anas bin Malik juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : "Jika seorang lelaki memberikan pinjaman pada seseorang, dia tidak sepatutnya menerima hadiah (dia tidak boleh terima hadiah dari penghutang dalam keadaan hutangnya masih tidak dilangsaikan, tetapi dia boleh bila pinjaman tersebut sudah dibayar kepadanya). (Hadis Riwayat Bukhari)

d – Fadalah ibn Ubayd berkata : "Keuntungan (imbuhan/kelebihan/manfaat ) yang didapati sesuatau pinjaman adalah satu dari kepelbagaian aspek dari riba". (Hadis Riwayat Sunan al-Baihaqi) – mauquf – hadis 10933 – Jilid 5 – Sunan Alkubra - Bab 97 – Setiap hutang yang ada lebihan/manfaat maka ia adalah Riba)

Kedua : Bayaran dalam bentuk penangguhan , bukan tunai (cash)

a - Usamah bin Zaid bin Haritsah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya, riba itu terjadi pada penagguhan waktu pembayaran.

Dari Usama bin Zaid : Nabi SAW bersabda : "Tiada riba melainkan di dalam nasiah (penangguhan/menunggu) . (Hadis Riwayat Bukhari)

b - Samara b. Jundub meriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang menjual binatang-binatang untuk binatang-binatang bila pembayarannya dibuat pada tarikh yang dilewatkan (ditangguhkan pembayaran / pemberian binatang yang ingin ditukar/dijual) (Hadis Riwayat Tirmidhi, Abu Daud , Nasai , Ibn Majah , dan Darimi)

Maksudnya menjual binatang dengan binatang dilarang dibuat secara hutang tetapi dibenarkan dibuat secara tunai. Jual dulu binatang kita kemudian beli pula binatang orang lain. Teransaksi penjualan berlaku dalam masa yang sama.

c -Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar bahawa seorang lelaki berkata kepada yang lain. ‘’ Belilah unta ini bagi saya segera supaya saya boleh membeli dia daripada anda secara berhutang.’’ Abdullah bin Umar telah ditanya tentang itu dan dia tidak bersetuju dan melarangnya. (Muwatta Imam Malik)

d– Riwayat Imam Malik : Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar bahwa al-Qasim ibn Muhammad berkata,“Umar ibn al-Khattab berkata, `Dinar untuk dinar dan dirham untuk dirham dan sa’ untuk sa’. Suatu yang akan diambil kemudian tidak boleh dijual dengan sesuatu yang ada di tangan.''

Bukan dari jenis riba jika ianya dalam bentuk hutang @ gadai.

a – Saidatinah Aisah r.ha. berkata bahawa Rasulullah telah membeli makanan berbentuk bijiran daripada seorang Yahudi di atas asas penangguhan bayaran dan perisai baginda dijadikan gadaian. ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Beliau berkata bahawa ketika Rasulullah SAW wafat , baju besi baginda digadai kepada Yahudi untuk 30 sa’ dari barli ( sa’ adalah sukatan bagi berat – dalam bahasa kita adalah gantang )

Ketiga : Menipu dalam perniagaan.

a – Anas ibn Malik berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : "Menipu seorang mustarsal ( seseorang yang tidak tahu akan harga pasaran) adalah riba."(Hadis Riwayat Baihaqi)

b – Abdullah bin Abu Aufa berkata : Seorang lelaki memaparkan beberapa makanan di pasar dan memberikan sumpah palsu bahawa beliau ditawarkan sedemikian (harga) untuk semua walaupun dia tidak ditawarkan dengan harga sedemikian.

Kemudian turun ayat dari Allah SWT yang maksudnya : "Sesungguhnya orang yang menukar janji Allah dan sumpah mereka dengan harga yang sedikit, itulah orang yang tidak akan mendapat bahagian di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka di hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka, dan bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ali-Imran ayat 77)

Ibn Abu Aufa menambah : Manusia (yang didihuraikan di atas) adalah khianat/tidak jujur , pengguna kepada riba. (Hadis Riwayat Bukhari)

c – Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah datang kepada satu timbunan bijiran dan , bila baginda memasukkan tangannya kedalamnya, baginda merasakan kelembapan pada tangannya, maka baginda bertanya kepada pemilik bijiran bagaimanakah ia datang. Bahawa diberitahu yang hujan telah turun ke atasnya , baginda berkata : "Mengapa engkau tidak meletakkan yang lembab itu di bahagian atas yang dengannya manusia boleh melihatnya? Dia yang menipu tidak ada kena mengena dengan aku." (Hadis Riwayat Muslim)

d - Wathila b. Al-Aqsa berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Jika seseorang yang menjual suatu bahan yang cacat/rosak tanpa memberikan perhatian terhadapnya (ketika menjualnya) , dia akan kekal di bawah kemurkaan Allah atau para malaikat akan berterusan melaknatnya. "(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

e - Larangan Allah SWT terhadap menipu dalam timbangan.

Firman Allah SWT maksudnya : "...sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda- benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik- baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". (Surah al-Araaf ayat 85)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya : "Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakkan di muka bumi.." (Surah Hud ayat 85)

Keempat : Agen menaikkan harga jualan (pembida yang diupah )

Dari Abdullah ibn Abi Awfa : Nabi SAW bersabda (maksudnya) : "Seorang najish (seseorang yang berkhidmat sebagai agen untuk membida harga pada majlis lelongan) adalah dikutuk (dilaknat) sebagai pengambil riba.

Kelima : Menyorok stok untuk jadikan harga barang naik.

a – Makmar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : "Jika seseorang menyimpan barangan sehingga harganya meningkat, dia adalah seorang pendosa (berbuat dosa)." (Hadis Riwayat Muslim)

 b – Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya) : "Orang yang membawa barangan untuk dijual akan dirahmati (disayangi) dengan nasib yang baik tetapi orang yang menyimpannya sehingga harga meningkat adalah dilaknat". (Hadis Riwayat Ibn Majah, Darimi)

Keenam : Barang yang sama jenis tetapi tidak sama berat (contoh menjual emas tempa dengan harga emas lebih tinggi)

a -“ Yahya meriwayatkan kepada saya dari Malik dari Abdullah Ibnu Dinar dari Abdullah Ibnu Umar bahawa Umar Al-Khattab berkata janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali dengan seimbang, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan seimbang, seimbang, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, dan janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada dengan sesuatu yang ada, jika seseorang meminta kamu menunggu untuk membuat pembayaran sehingga dia kembali ke rumahnya janganlah kamu tinggalkannya, aku bimbang rama’ atas kamu ..rama’ adalah riba. (Muwatta Imam Malik)

Jika kita memiliki emas lama dan bercadang hendak "tread in" untuk membeli emas baru/ barang kemas baru, maka caranya hendaklah dijual dahulu emas lama kita (mendapat bayaran sepenuhnya) kemudian baru membeli emas baru/ barang kemas baru yang kita hajatkan.

b – (Muwatta Imam Malik) Yahya meriwayatkan daripada Malik yang Yahya ibn Said berkata,” Rasullulah SAW mengarahkan dua Saad untuk menjual becana/bekas yang diperbuat dari salah satu emas atau perak daripada harta rampasan. Mereka sama ada menjual masing-masing tiga unit-unit berat untuk empat unit berat duit syiling atau masing-masing empat unit-unit berat untuk tiga unit berat duit syiling. Rasullulah SAW, berkata kepada mereka, ‘Kamu telah mengambil riba , jadi kembalikan ia.’ “

c – Yahya meriwayatkan daripada Malik daripada Humayd ibn Qays al-Makki yang Mujahid berkata :
“Saya berada bersama Abdullah ibn Umar, dan seorang tukang datang kepadanya dan berkata, ‘Abu Abd ar-Rahman – Saya membentuk emas perhiasan dan kemudian menjual lebih daripada beratnya. Saya mengambil satu jumlah bersamaan kerja tangan saya.’ Abdullah melarang dia melakukan yang demikian , jadi tukang itu mengulangi soalan kepadanya, dan Abdullah terus melarangnya sehingga dia datang ke pintu masjid atau kepada binatang tunggangannya . Kemudian Abdullah ibn Umar berkata, ‘Satu dinar untuk satu dinar, dan satu dirham untuk satu dirham. Tidak boleh menambah antara mereka. Ini merupakan perintah dari Nabi kita untuk kami dan nasihat kami untuk anda.’ “

Pertukaran wang asing yang berlainan jenis mata wang dibenarkan tetapi transaksi perlu berjalan dalam masa yang sama tidak boleh berhutang atau bertangguh.

d – Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar dari datuknya, Malik ibn Abi Amir yang Uthman ibn Affan menyatakan,

"Rasullulah SAW berkata kepada saya, "Jangan kamu jual satu dinar untuk dua dinar atau satu dirham untuk dua dirham ”.

Ketujuh : Barang yang sama jenis tetapi tidak sama berat (barang ribawi).

Abu Said alKhudri meriwayatkan bahawa Bilal telah membawa kepada Nabi SAW beberapa kurma Barni (jenis kurma) dan apabila beliau (Bilal) ditanya oleh baginda (Nabi) dari manakah beliau mendapatkannya, Beliau menjawab ” Aku mempunyai kurma yang mempunyai kualiti yang rendah , kemudian aku menukarkan dua Sa’ (gantang) daripadanya untuk satu Sa’ (gantang) yang ini.

Nabi SAW menjawab : "Ah, inilah intipati riba. Intipati dari riba. Jangan kamu lakukan demikian, tapi jika kamu mahukan, jualkan kurma dalam transaksi yang berasingan kemudian kamu beli dengan apa yang kamu dapatkan (dari jual beli kurma tadi)."

Kelapan : Duit kertas atau duit yang asalnya bersandar pada barang ribawi atau kertas hutang yang dijadikan duit .

a – Imam Malik di dalam Muwatta :Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahawa ia mendengar tanda terima/resit (duit kertas) dibagikan pada penduduk pada masa Marwan bin al-Hakam untuk barang di Pasar al-Jar.

Penduduk membeli dan menjual resit di antara mereka sebelum mereka mengambil barangnya.Zaid bin Tsabit bersama seorang sahabat Rasulullah pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, ‘’ Marwan , apakah engkau menghalalkan riba?’’

Ia menjawab, " Naudzubillah, apakah itu?."

Ia berkata ‘’Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual beli sebelum menerima barangnya."

Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya kepada pemilik asalnya.

Kes ini bersamaan dengan realiti kita sekarang ini apabila orang yang mendapat bocher buku dijualnya bocher tersebut kepada orang lain dengan harga yang lebih rendah untuk mendapatkan untung segera. Bocher tidak boleh dijual beli perlu ditukar dengan barang yang telah ditetapkan oleh pemberi bocher.

 b – Dari Sulaiman Bin Yasar dari Abu Hurairah bahawa beliau berkata kepada Marwan :

 "Apakah kamu menghalalkan jual beli riba?”

 Marwan menjawab, "Saya tidak menghalalkannya."

 Abu Hurairah melanjutkan; “Kamu menghalalkan jual beli shikak (surat/kertas yang dikeluarkan oleh penguasa, bertuliskan sejumlah makanan atau selainnya yang diberikan kepada orang yang berhak).

Sungguh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam melarang menjual bahan makanan sampai ia ditimbang terlebih dahulu”

Sulaiman berkata ;”Lantas Marwan mengumumkan kepada orang-orang dan melarang jual beli seperti itu.” Sulaiman berkata ” Saya dan para pengawal mengambilnya dari tangan orang ramai.”

Sahabat yang dimuliakan,Dalam kehidupan kita seharian perlulah berhati-hati jangan sampai kita terlibat dengan riba. Mengambil riba atau terlibat secara langsung atau pun tidak adalah dosa besar. Ramai umat Islam tidak merasakan keharaman riba ini sebagai dosa seperti makan daging khinzir, minum arak atau main judi. Sedangkan dosa riba adalah salah satu dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

 Jenis-jenis riba yang terdapat dalam jenis perniagaan perbankkan dan jual beli adalah seperti berikut :

1. Akaun Simpanan Biasa dalam Bank Konvensional.

Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.

Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).

Faedah yang diberikan oleh bank setiap tahun adalah riba. Jika kalian ada membuka akaun simpanan dalam bank konvensional maka perlu ditukar kepada akaun simpana kepada Akaun Simpanan i Wadiah atau Akaun Simpanan i Mudharabah dalam Bank Islam, Akaun Tabung Haji atau Bank yang ada Jawatankuasa Syariah.

2. Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit) dalam Bank Konvesional keuntungan tetap yang diberikan bank adalah riba.

Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam "conventional fixed deposit account". Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.

Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (‘fixed interest' atau ‘fixed return') sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.

Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit account" tadi adalah Riba ‘Ad-Duyun' dari jenis ‘Al-Qard'. Ini adalah kerana, sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).

3. Pinjaman yang terdapat dalam bank konvesional adalah seperti berikut :

Apabila seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk :-

a- Membeli kereta ( Car Loan )b- Membeli rumah ( Home Loan )c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )

Dalam proses pinjam meminjam di atas, proses pinjam meminjam antara kedua-dua pihak akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si pelanggan B untuk membeli kereta, rumah, mendapatkan modal syarikat atau peribadi, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, bagaimanapun sebagai imbalan balik kepada pihak Bank, mereka akan menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8 % (sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu (RM 8,000) di bawah nama ‘interest' bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD. Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini. Semua jenis pulangan seperti ini adalah Riba secara sepakat ulama. (Fawaid Al-Bunuk Hiya Ar-Riba Al-Haram, Al-Qaradawi, Muassasah Ar-Risalah, hlm44,)

4. Kad kredit terdapat riba apabila pengguna tidak membayar dalam tempoh yang ditetapkan oleh bank.

Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba.

Oleh itu sebaik-baiknya eloklah kalian meninggalkan kad kredit konvensional dan mengambil kad kredit yang dikeluarkan oleh Bank Islam / Bank Muamalat atau bank yang mempunyai perbankkan Islam . Kerana risikonya cukup besar boleh terjebak dalam sistem riba. Sebaik-baiknya gunakan debit kad bukan kredit kad.

5. Jual beli emas dengan berhutang adalah diharamkan.

Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang. Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah , 6/60 )

Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijmak (sepakat) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr' (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.

6. Pelaburan / Pertukaran wang asing (forex) secara online di internet adalah haram.

Dalam Islam apa juga pelaburan yang ingin dilaksanakan perlu jelas akad jual beli iaitu ada penjual, pembeli dan produk yang hendak dijual. Jika tidak jelas perniagaan dan pelaburannya maka disitu akan ada unsur-unsur penipuan , riba dan gharar (samar-samar).

Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah SAW menegah daripada jualan secara gharar” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 98 memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing (forex). Perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam. Hasil kajian jawatankuasa ini, kita dapati perniagaan pertukaran wang asing membabitkan spekulasi mata wang dan ini bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam.”

7. Perniagaan Multi Level Marketing.

Jika syarikat perniagaan MLM (Multi Level Marketing) tidak mempunyai Jawatankuasa Patuh Syriah untuk mengawal dan mengawasi syarat keahlian, transaksi perjalanan syarikat dan perniagaannya dikhuatiri mempunyai unsur-unsur riba , penipuan, penindasan dan perjudian.

Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya.

Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

1. Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

2. Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

3. Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang di sebutkan di atas. Sebaik-baiknya menjauhkan diri daripada urusniaga cara MLM dan mencari perniagaan yang jelas halalnya supaya dapat menjauhkan diri daripada perkara haram dan syubahat.

8. Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional dan Amanah Sahah Bumiputera.

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال

Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

Kalian perlulah menjauhkan diri daripada membuat pelaburan yang jelas haramnya dan syubahat dan memilih hanya Amanah Saham yang patuh syariah sahaja.

9. Mengambil insuran nyawa atau insuran kenderaan secara sistem konvensional adalah riba.

Kalian perlu meninggalkan mengambil sistem insuran konvensional dan digantikan dengan sistem insuran Islam (takaful) supaya terhindar daripada sistem riba.

Sahabat yang dikasihi,Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada amalan riba dan perniagaan yang mempunyai unsur-unsur yang haram dan syubahat kerana hasil yang diperolehi daripada sumber yang haram adalah paling layak mendapat pembakaran api neraka.

Daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka api nerakalah bahan pembakarnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap daging badannya yang tumbuh daripada benda yang haram (yang menghilangkan berkat), maka nerakalah yang lebih utama bagi orang itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Oleh yang demikian, setiap muslim wajib berhati-hati terhadap urusan pinjaman, muamalah, jual beli, perniagaan dan pemakanannya agar bersih daripada sumber yang haram, riba , perjudian, syubahat dan penindasan. Wallahualam.

Sumber artikel https://www.facebook.com/notes/abu-basyer/jauhkan-daripada-riba-dalam-semua-urusan-kehidupan/10151548766151040

[Fatwa] Hukum ASB & ASN - Haram? Harus?

Standard
Pilihan ditangan anda...

 


Penilaian Semula Hukum Pelaburan Aamanah Saham Nasional (ASN ) Dan Amanah Saham Bumiputera (ASB ) Dan Seumpamanya

Tarikh Keputusan: 12 Apr, 2011
Keputusan:

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

    ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال

    Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”
    
Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
    
Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.


Hutang Halang Masuk Syurga ??

Standard
Klik utk Image Besar
Klik image untuk size lebih besar

Bagaimana anda hendak menyelesaikan hutang jika anda sudah meninggal dunia atau tidak lagi mampu bekerja? Adakah anda sanggup membiarkan isteri/suami, anak-anak atau saudara-mara anda menyelesaikan hutang anda?

Bagaimana anda mampu menyelesaikan hutang piutang dan menyara tanggungan anda walaupun anda sudah tiada?

Lindungi keluarga anda dan jangan menyusahkan mereka apabila anda sudah meninggal dunia atau tidak mampu lagi bekerja kerana lumpuh.

Dapatkan penerangan lanjut dan hubungi saya seperti tertera di sebelah kanan blog ini.


[Fatwa] Apa itu Wang atau Harta Tidak Patuh Syariah?

Standard

Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Pandangan Imam Al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

i.    Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
ii.    Perjudian dan pertaruhan;
iii.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
iv.   Insurans konvensional;
v.    Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
vi.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
vii.  Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
viii.  Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Rujuk artikel asal http://www.mais.net.my/index.php?option=com_content&view=article&id=219&Itemid=267
Juga Rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh-syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain