[Berita 181013] Takaful Ikhlas terima anugerah Pengendali takaful terbaik

Standard

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Jenama Takaful Ikhlas telah membuktikan kehebatannya apabila menerima pengiktirafan berprestij Pengendali Takaful Terbaik Malaysia 2013 bulan lepas, daripada Global Banking & Finance Review, iaitu sebuah portal dalam talian.

Anugerah itu diwujudkan bagi mengiktiraf syarikat daripada pelbagai saiz yang menonjol dalam bidang-bidang kepakaran dan kecemerlangan tertentu dalam seluruh komuniti perbankan dan kewangan global.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. berkata, anugerah itu melambangkan inovasi, pencapaian, strategi, perubahan progresif dan inspirasi yang berlaku dalam sektor kewangan.

"Anugerah dan pengiktirafan ini menunjukkan produk-produk Takaful Ikhlas telah mendapat perhatian masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara," kata Naib Presiden Kanan, Ketua Agensi merangkap 'Officer in Charge' Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Wan Rosli Shaharuddin Wan Yaacob dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat yang memulakan operasi pada Julai 2003 dengan perolehan sumbangan kasar RM6.6 juta, kini telah memperoleh sumbangan kasar berjumlah sehingga RM747 juta pada suku kewangan akhir berakhir 31 Mac.

"Kejayaan Takaful Ikhlas dicapai dalam masa yang begitu singkat iaitu 10 tahun adalah sesuatu yang membanggakan. Kami berbangga dengan apa yang telah kami capai sejak sekian lama dan akan terus berusaha ke arah mencapai pertumbuhan lebih memberangsangkan," kata Wan Rosli. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20131018/ko_03/Takaful-Ikhlas-terima-anugerah-Pengendali-takaful-terbaik

© Utusan Melayu (M) Bhd
  • Categories