[Berita 050813] Takaful Ikhlas perkenal bankatakaful tahun depan

Standard

2013/08/05 - 06:25:02 AM Oleh Mohd Zaky Zainuddin
Sumber: www.bharian.com.my

Pemilihan syarikat perbankan dimuktamad Januari 2014

TakafuL Ikhlas Sdn Bhd akan memperkenalkan produk bankatakaful bermula tahun depan bagi mempelbagaikan tawaran produknya, sejajar dengan hasratnya meningkatkan perolehan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar, berkata kini syarikat sedang berunding dengan dua syarikat perbankan tempatan bagi mewujudkan perkhidmatan itu.

Katanya, keputusan pemilihan syarikat perbankan akan dimuktamadkan seawal Januari tahun depan, sebelum syarikat merangka produk bersesuaian untuk ditawarkan kepada pelanggan.

“Kami masih dalam rundingan dengan dua bank yang satu daripadanya akan menjadi rakan niaga kami dalam menyediakan produk bankatakaful,” katanya kepada BH.

Aset RM1.5 bilion

Setakat ini, Takaful Ikhlas yang juga anak syarikat MNRB Holdings Bhd (MNRB) dengan pemilikan aset keseluruhan RM1.5 bilion berada pada kedudukan keempat dari segi penguasaan pasaran dalam industri takaful di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ab Latiff berkata, Takaful Ikhlas menjangkakan bankatakaful akan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan syarikat iaitu sekurang-kurangnya 40 hingga 45 peratus selepas setahun produk itu ditawarkan di pasaran.

“Kami akan memastikan produk bankatakaful nanti berlainan daripada apa yang ditawarkan agensi atau ejen bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat menyasar meraih pendapatan premium insurans takaful RM800 juta bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2014.

Katanya, sasaran itu lebih tinggi akan dipacu sumbangan pendapatan sebanyak 60 peratus daripada takaful keluarga, manakala selebihnya daripada takaful am.

“Kami akan memperkasakan peranan agensi kami yang ketika ini sekitar 1,200 daripada 3,000 agensi bergerak secara aktif. Selain itu, Takaful Ikhlas juga akan merekrut agensi bukan Muslim bagi memanfaat pasaran berpotensi untuk syarikat berkembang,” katanya.

Perkenal 3 produk baru

Syarikat juga akan memperkenalkan tiga produk takaful baru tahun ini. Setakat ini, Takaful Ikhlas mempunyai 1.8 juta pemegang insurans persendirian dan mencatat RM690 juta pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.

Ab Latiff berkata, bermula tahun ini, syarikat akan memberi tumpuan kepada produk insurans berkelompok yang berpotensi menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat pada masa akan datang.

“Bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2014, insurans kelompok syarikat dijangka menyumbang sekitar sembilan hingga 10 peratus kepada pendapatan berbanding kurang daripada RM30 juta tahun lalu,” katanya.
  • Categories