[Berita 041013] Takaful IKHLAS berlandaskan syariah sepenuhnya

Standard


by Agnes Tugong. Posted on October 4, 2013, Friday

KUCHING: Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) berjaya mengikis kesangsian masyarakat khasnya umat Islam terhadap polisi perlindungan insurans yang 100 peratus berlandaskan syariah.

Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata Takaful IKHLAS menawarkan produk takaful yang baik dari sudut menguruskan kewangan.

Contohnya, takaful pendidikan serta perubatan dan kesihatan yang mana dua perkara ini merupakan aspek penting kepada masa depan setiap individu tanpa mengira latar belakang dan usia.

“Sebagai sebuah syarikat perlindungan yang menawarkan produk 100 peratus berlandaskan syariah yang baharu berusia 10 tahun, saya berbangga melihat pencapaian syarikat mencatat perolehan yang amat baik pada tahun kewangan berakhir Mac 2013 lalu.

“Namun masih ramai lagi rakyat di negeri ini yang belum terdedah secara langsung dengan produk-produk yang 100 peratus berlandaskan syariah.

“Sehubungan itu langkah yang diambil oleh Takaful IKHLAS dengan perpindahan ke tapak perniagaan sendiri menunjukkan komitmen tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat terhadap produk takaful,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perasmian Premis Baharu Pejabat Takaful IKHLAS Wilayah Sarawak di Jalan Kulas, di Satok di sini semalam.

Mengulas mengenai pemilihan Satok sebagai lokasi bagi syarikat menempatkan pejabat baharunya, Abang Johari berkata pembangunan pesat Satok sebagai lokasi institusi kewangan sudah pasti menjadi kriteria dalam pembukaan pejabat baharu itu.

Bermula dengan Bank Negara serta pelbagai jenis institusi perbankan yang lain serta insurans takaful, Satok katanya sudah pasti menjadi lokasi tumpuan kepada kewujudan pelbagai bentuk syarikat termasuk perlindungan takaful.

Malah katanya, beberapa kawasan berdekatan seperti Matang, Batu Kawa, Stutong, Tabuan Jaya, Batu 10 sehingga ke Kota Samarahan dan Serian dijangka akan terus berkembang dengan populasi penduduk sekitar 800,000 orang menjelang tahun 2020.

Pertumbuhan pesat ini katanya, sudah pasti akan memberi impak positif kepada penyedia takaful seperti Takaful IKHLAS dalam menampung permintaan yang tinggi daripada pelanggan termasuk dalam bidang perkhidmatan, pelancongan, pembuatan dan sebagainya.

Dalam pada itu premis baharu yang terletak di Jalan Kulas, Satok itu merupakan cawangan keempat Takaful IKHLAS yang dibuka pada 2007 bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada setiap kakitangan dan pelanggannya.

Takaful IKHLAS mempunyai 1.8 juta pemegang polisi berdaftar yang diselenggarakan oleh lebih 5,000 ejen dari seluruh Malaysia  yang memasarkan lebih 80 produk terdiri daripada pelbagai jenis produk takaful am dan takaful keluarga.

Mula beroperasi pada Julai 2003, Takaful IKHLAS merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dan pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad dan pelbagai skim unit Amanah Saham PNB.

Syarikat turut mempunyai pusat perkhidmatan pelanggan di pejabat korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Perak, Terengganu, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Sumber Berita : http://www.theborneopost.com/2013/10/04/takaful-ikhlas-berlandaskan-syariah-sepenuhnya


  • Categories