[Artikel Menarik]: Takaful dan Pelan Pelaburan

Standard
Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

MANUSIA dan harta tidak boleh dipisahkan. Lantaran itu Islam mengiktiraf keperluan manusia kepada harta dan kerana itulah Islam menggariskan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh manusia dalam interaksinya dengan harta agar ia menjadi wasilah untuk menikmati keselesaan hidup dan mencapai takwa.

Memiliki harta semata-mata tanpa ia diurus dan dibangunkan untuk kesejahteraan manusia sejagat adalah bertentangan dengan apa yang dituntut oleh Islam.

Islam menyuruh agar harta dikembang dan melarang membekukannya. Islam mengajar umatnya agar menjadikan setiap aktiviti yang dilaku kan diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Justeru, bagi mencapai tujuan tersebut maka aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak yang berasaskan kepada al-Quran, al-sunnah, ijmak, qias dan itihad.

Firman Allah yang maksud-Nya: Hai orang - orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (an-Nisa': 26)

Dewasa ini, setiap individu mula memberikan keutamaan kepada aktiviti pelaburan sebagai satu cabang instrumen pendapatan di samping memenuhi keperluan masa hadapan. Malah masyarakat hari ini dihidangkan dengan pelbagai instrumen pelaburan sama ada instrumen yang sah mahupun yang tidak sah termasuklah pelbagai skim cepat kaya.

Memang tidak dinafikan, kini kesedaran di kalangan masyarakat untuk membuat pelaburan adalah sangat memberangsangkan. Namun, jangan kerana keghairahan tersebut menggelap kan mata untuk menilai instrumen pelaburan 'yang mana satu intan dan yang mana satu kaca, nanti dikemudian hari bukan laba yang diraih tetapi bala yang mendatang.

Justeru, setiap anggota masyarakat wajib memiliki ilmu-ilmu asas yang berkaitan dengan pelaburan sebelum membuat keputusan melabur.

Kini dengan pertumbuhan dan perkembangan pesat industri takaful, para pengendali takaful juga tidak ketinggalan menawarkan pelbagai produk yang inovatif yang dapat memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

Sebagai memenuhi keperluan tuntutan pelanggan yang bukan sahaja memerlukan perlindungan takaful tetapi pada masa yang sama ingin menikmati pulangan keuntungan daripada aktiviti pelaburan pengendali takaful khususnya Takaful Ikhlas menawarkan produk yang menggabungkan elemen perlindungan takaful dan elemen pelaburan yang dikenali sebagai Investment Linked.

Langganan ke atas produk berkaitan pelaburan ini dijangkakan akan terus meningkat selaras peningkatan pendapatan rakyat Malaysia.

Pelan Takaful Berkait Pelaburan ini adalah satu pelan tabungan jangka panjang yang berasaskan kepada kaedah pelaburan dalam sekelompok saham mengikut pecahan unit sama seperti saham amanah (unit trust) yang digabungkan dengan manfaat perlindungan takaful.

Perbezaan ketara kaedah pelaburan berkait takaful dengan instrumen pelaburan biasa adalah pada aspek perlindungan. Seseorang peserta bukan sahaja dapat menikmati pulangan keuntungan pelaburan malah dapat menikmati elemen perlindungan apabila seseorang peserta itu ditimpa risiko-risiko yang dilindungi di bawah pelan tersebut.

Untuk lebih jelas lagi, penulis mengambil contoh IKHLAS Premier Investment-Linked Takaful dan IKHLAS Capital Investment-Linked Takaful yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Berhad.

IKHLAS Premier Investment-Linked Takaful memberikan bakal pelabur ketenangan fikiran dengan perlindungan kewangan yang sewajarnya menerusi pelaburan di dalam mana-mana tiga dana pelaburan iaitu Dana Pertumbuhan, Dana Seimbang serta Dana Pendapatan Tetap.

Ketiga-tiga dana tersebut menawarkan strategi pelaburan yang tersendiri yang boleh dipilih oleh bakal peserta berdasarkan objektif pelaburan masing-masing.

Di bawah Premier Investment-Linked Takaful peserta berpeluang meraih pendapatan yang lebih lumayan. Melalui caruman RM100 sebulan, peserta sebenarnya sedang mengorak langkah ke arah menjamin masa depan yang diingini dengan perlindungan kewangan yang diperlukan seandainya berlaku sebarang bencana yang boleh membawa kepada kematian ataupun Hilang Upaya Kekal & Menyeluruh (TPD).

Bagi faedah kematian dan TPD sebagai contoh, jika berlaku kematian atau TPD kepada peserta, 100% daripada Jumlah Perlindungan campur amaun terkumpul di dalam semua unit saham akan dibayar kepada peserta atau keluarga terdekat.

Menerusi IKHLAS Capital Investment-Linked Takaful yang hanya dengan sekali caruman sahaja peserta berpeluang mendapatkan pulangan yang lebih lumayan ke atas pelaburan yang bakal dibuat. Ia adalah pelan yang memberikan tambah nilai kepada modal serta perlindungan secara serentak.

Di bawah pelan ini peserta boleh menikmati pulangan dan perlindungan tertinggi ke atas pelaburan yang dibuat.

Sebagai contoh untuk sekali sahaja bermula dengan pelaburan RM5,000, peserta bakal menikmati pulangan pelaburan yang lumayan dan perlindungan takaful yang diperlukan jika berlaku sebarang bencana yang membawa kepada kematian atau TPD.

Seseorang peserta atau warisnya boleh menikmati (tertakluk kepada terma dan syarat) 100% daripada Jumlah Perlindungan (bersamaan dengan 125% daripada caruman tunggal) jika berlaku kematian atau TPD kepada peserta, Pelan pelaburan berkait takaful ini bukan sahaja unik dari segi manfaat duniawi yang boleh dinikmati oleh peserta, malah seseorang peserta juga boleh menikmati manfaat ukhrawi.

Manfaat ukhrawi ini dapat dinikmati oleh peserta menerusi aplikasi tabarru' (derma) yang menjadi teras dalam sistem Takaful.

Dalam sistem takaful, pelaksanaan tabarru' ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, Peserta A menderma untuk membantu Peserta B, manakala Peserta B menderma untuk membantu Peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai takaful dimana peserta saling membantu antara sesama mereka dan bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Sumbangan tabarru' tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa di dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi disamping habuan duniawi sekali gus.

Firman-firman Allah berikut adalah di antara bukti bahawa amalan bersedekah ini dijanjikan ganjaran yang sangat lumayan di sisi Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Menerusi amalan tabarru' ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan tabarru' menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru' kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak mengetahuinya.

Peluang untuk kita merebut peluang ini terbuka luas sama ada dengan kita menjadi pelanggan takaful, pekerja takaful mahupun sebagai wakil (ejen) takaful. Semoga harta yang kita peruntukkan sebagai sumbangan takaful itu menjadi hujah di hadapan Allah kelak sebagai harta yang diredai-Nya.

Para peserta yang menyertai pelan pelaburan berkait takaful ini juga membuat pilihan yang tepat kerana memilih kaedah pelaburan yang selaras dengan tuntutan syariah.

Sistem takaful bebas dari unsur-unsur gharar, riba dan juga maisir. Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus,tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu "ada udang disebalik batu".

Para peserta tidak perlu ragu kerana pihak bertanggungjawab kepada industri takaful di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan kerangka pematuhan dan pengawalseliaan Syariah yang mantap dan efisien.

Akta Takaful 1984 telah memperuntukkan beberapa peruntukan yang mewajibkan pengendali takaful memastikan semua aktiviti sentiasa mematuhi syariah di samping pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak BNM.

Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ia bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam ini.

Download: Artikel asal boleh dimuat-turun di sini
  • Categories